Sebilangan masyarakat Islam samada di Malaysia dan juga beberapa pandangan masyarakat lain banyak mengatakan bahawa Iblis atau namanya Azazil adalah 'bekas' ketua malaikat yang telah diturunkan ke bumi setelah menolak perintah Allah untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s. Dan kemudiannya, Iblis berjanji untuk menyesatkan umat manusia dari kebenaran dan memesongkan dari segi aqidah dan menjerumuskan manusia ke lembah kemaksiatan dan kehinaan.
Memang menyedihkan lagi apabila sebilangan ibubapa yang telah menceritakan kisah yang tak tepat ini kepada anak-anak sehingga mereka (anak-anak) berpegang dengan kepercayaan bahawa iblis ini adalah 'bekas' ketua malaikat!. Ditambah lagi dengan cerita-cerita barat yang mengukuhkan kepercayaan bahawa Iblis atau Lucifer sebagai THE FALLEN ANGEL atau malaikat yang diturunkan atau ketua malaikat yang telah dilaknat oleh tuhan kerana sifat kesombongan dan takburnya. Sebenarnya, kepercayaan ini adalah kepercayaan yang disebut di dalam ajaran kristian walaupun sebilangan mereka juga masih ragu-ragu tentang status Iblis atau Lucifer ini sebenarnya. Lucifer yang bermaksud 'day star' atau 'son of the morning' banyak disebut di dalam bible dan merupakan makhluk yang telah memberontak setelah Adam a.s dijadikan menurut kepercayaan mereka.
Tidak dinafikan bahawa Allah telah memerintahkan iblis dan para Malaikat untuk bersujud kepada Adam a.s setelah diciptakan dan ini telah dirakam di dalam surah Baqarah ayat 34:
'Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada Para Malaikat,"Sujudlah kamu kepada Adam!" Maka mereka pun sujud kecuali Iblis. Ia menolak dan takbur, dan ia termasuk golongan yang kafir'.
Merujuk kepada ayat ini, terdapat sebilangan pembaca yang terus meletakkan Iblis sebagai golongan para Malaikat tanpa melihat tafsir yang lebih jelas dan juga beberapa ayat quran yang lain. Secara asasnya, sebilangan terjemahan Quran telah menerangkan bahawa 'Iblis termasuk di dalam kelompok jin'. Begitu juga, di dalam ayat Quran dan hadith juga telah menerangkan secara terang bahawa Iblis itu adalah dari golongan jin yang diperbuat daripada api, dan membezakan dengan kejadian Malaikat yang dijadikan dari cahaya!.
Di dalam surah Kahfi ayat 50 telah jelas menerangkan bahawa kejadian iblis yang datangnya dari golongan jin.
'Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada Malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam!" Maka mereka pun sujud kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia mendurhakai perintah Tuhannya'....
Di dalam sebuah hadith dari Aisyah r.a :
'Malaikat diciptakan dari cahaya, Jin diciptakan dari api dan Adam diciptakan sebagaimana telah dijelaskan kepada kalian (dari tanah)'
hr Muslim no 2996.
Bahkan Iblis sendiri telah mengaku tentang kejadiannya yang dijadikan dari api seperti yang disebut di dalam surah Al-A'raf ayat 12:
'(Allah) Berfirman, "Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?" (iblis) menjawab,"Aku lebih baik daripada dia. Engkau menciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah'
Ini menunjukkan sifat iblis yang sombong dan takbur sedangkan Allah telah menciptakan para Malaikat tanpa rasa sombong dan mereka takut kepada Allah dan mengerjakan perintah Allah tanpa ragu-ragu. Ini dijelaskan di dalam surah An-Nahl ayat 49-50:
'Dan segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi hanyalah bersujud kepada Allah yaitu semua makhluk bergerak (bernyawa) dan juga para malaikat, dan mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri. Mereka takut kepada Tuhan yang (berkuasa) di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka)'
Juga di sebut di dalam surah At-Tahrim ayat 6 :
'Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan'
Merujuk kepada ayat ini, ternyata bahawa mustahil untuk mengatakan bahawa iblis adalah dari golongan malaikat kerana iblis telah menolak suruhan Allah untuk bersujud kepada Adam a.s. Sekiranya masih ada juga mengatakan bahawa iblis ini adalah dari golongan malaikat, adakah mereka tidak beriman dengan ayat-ayat quran?. Apabila disebut tentang kejadian iblis dari api, ternyata bahawa makhluk yang diciptakan dari api adalah dari golongan jin. Ini juga telah disebutkan di dalam ayat quran seperti :
Surah Rahman ayat 15 :
'Dan Dia menjadikan jin dari nyala api tanpa asap'
Surah Hijr ayat 27 :
'Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas'
Diharap dengan dalil-dalil dari Quran dan hadith ini dapat menjelaskan dengan terang kepada semua (pembaca), tentang status sebenar siapakah iblis laknaktullah ini mengikut kepercayaan Islam yang sebenar. Jauhkanlah kepercayaan kita bahawa iblis itu dari kalangan para Malaikat hinggakan ada yang percaya bahawa iblis laknatullah ini pernah menjadi ketua kepada para malaikat. Jadikanlah sumber Quran dan Hadith (shahih) untuk dijadikan panduan dan bukan hanya mendengar dari mulut orang yang kita sendiri tidak dapat pastikan keshahihannya hinggalah mereka membawa hujah-hujah dari Quran dan Hadith. Janganlah kita bersama memegang kepercayaan yang sama dengan kristian bahawa iblis atau lucifer sebagai 'bekas' malaikat.
No comments:
Post a Comment