Thursday, March 14, 2013

Cinta Suci dan Sejati


Bila diperingkat umur ini, kita banyak melihat kawan-kawan dan saudara yang bertukar status sebagai seorang suami mahupun isteri. Melihat kebahagiaan dan kasih sayang mereka menjadi lebih suci dengan ikatan halal yang berlandaskan dari ajaran islam dan sunnah Rasulullah. Dengan janji setia sebagai seorang suami dan isteri, saling menyayangi dan mencintai antara satu sama lain, berkongsi kehidupan yang penuh dengan pelbagai cabaran dan melakukan bersama tanpa sedikit keluhan dan putus asa. Tetapi adakah ini semua sudah memenuhi ruang cinta di dalam diri mereka?.

Sebagai seorang pemerhati, aku terfikir dan cuba mendalami tentang perasaan seorang suami dan juga cuba memahami perasaan seorang wanita yang bergelar isteri (hahahaha cam pelik bunyinya kan..nway aku mmg pelik). Apa yang mereka pandang dan bagaimana mereka menilai tentang cinta pasangan mereka sendiri?. Adakah mereka merelakan pasangan mereka melakukan perkara yang tidak baik dan juga gembira melihat pasangan mereka dihukum akibat kesalahan yang mereka cipta sendiri.

Aku sememangnya seorang manusia yang suka menjawab soalan yang datangnya dari pemikiranku sendiri. Aku melihat, memerhati dan cuba mendalami sesebuah situasi yang terjadi dikalangan masyarakat kita. Dan dengan itu, timbul satu soalan yang sering bermain dalam fikiran aku, iaitu

 adakah mereka (suami dan isteri) benar-benar mencintai antara satu sama lain?

Aku melihat ada dikalangan mereka yang secara lisannya mengaku dan meluahkan cinta sejati kepada pasangan mereka. Tetapi mereka membiarkan suami atau isteri mereka melakukan perkara yang tidak baik dan melanggar hukum islam. Terdapat segelintir dari mereka begitu bangga dan hinggakan menyokong pasangan mereka untuk menjayakan lagi perkara tersebut. Si suami sanggup membiarkan isteri mereka terdedah dengan pelbagai fitnah dan dosa yang terang dan jelas disebut dalam Quran dan hadith. 

Seandainya benar kita mencintai pasangan kita, adakah kita sanggup melihat mereka diseksa, dirotan, dibakar, disakiti mahupun dibenci oleh orang lain. Di dunia yang kita ada sekarang, kita melihat, kita merasa dan boleh disaksikan oleh orang ramai, dan kita tidak mahu pasangan kita dimalukan ataupun dihukum kerana kita berpegang dengan janji setia cinta kasih dan sebagainya. 

Kita mampu memarahi pasangan kita kerana tidak melakukan perkara yang ditetapkan oleh manusia dan dunia. Kita menegur dan menegah, dan ada yang sanggup memaksa pasangan untuk melakukan atau tidak sesuatu perkara di dunia ini kerana takut dengan hukuman yang ditetapkan oleh manusia sendiri. Ini kerana hukuman manusia jelas dan dilaksanakan di dunia. Kita masih mampu menghalang mereka kerana kita masih bernafas dan mampu untuk bersuara. 

tetapi...bagaimana pula sekiranya di hari pembalasan?

Kita sudah tidak mampu untuk menghalang malaikat untuk menyeksa pasangan kita akibat dari perbuatan yang mereka lakukan dibumi. Kita tidak diberi peluang lagi untuk menegah pasangan kita melakukan perkara-perkara tersebut. Semuanya sudah terlambat dan sudah dihisab oleh malaikat....

Sebagai contoh yang mudah dan senang untuk dilihat. Seorang suami yang melafazkan cinta mereka kepada si isteri dan sanggup berkongsi suka dan duka, sakit dan sihat, senang dan susah, begitu juga si isteri. 

Tetapi, adakah mereka sanggup membiarkan isteri mereka diseksa, dirotan atau disakiti kerana tidak menutup aurat dan juga si isteri, adakah mereka mampu melihat suami mereka menjerit-jerit, meraung dan terlolong tepekik pekik menahan kesakitan kerana mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami. 

Ada yang membiarkan suami mereka tidak menunaikan solat, membayar zakat dan sebagainya, dan ada suami yang membiarkan isteri mereka mendedahkan aurat, bercampur dengan bukan muhrim tanpa batasan dan sebagainya. Adakah benar lafaz cinta mereka seandainya mereka membiarkan ini semua berlaku?.

Kita terlalu leka dan mengabaikan perkara sebegini kerana kita masih tidak nampak betapa berat dan teruknya hukuman di akhirat. Kita hanya nampak hukuman yang dilaksanakan oleh manusia dan begitu takut kerana tidak mahu disakiti di muka bumi ini. Semua manusia tahu dan pasti bahawa seksaan Allah berjuta kali ganda lebih teruk dari seksaan ciptaan manusia.

Seandainya cinta itu sejati dan ingin kekal hingga ke syurga, sama-sama la kita lindungi pasangan kita bukan sahaja di dunia sementara ni, tapi jugak di akhirat kelak. Bahagia di syurga kekal abadi dan tiada tolok bandingannya. InsyaAllah.

No comments:

Powered By Blogger