Monday, April 6, 2015

acit?


Sedang aku berjalan di tengah Bandar Melaka, aku disapa dari belakang... kedengaran deruman motor yang selalu aku dengar 5-6 tahun yang lepas... sapaan suara halus nyaring yang selalu membuat aku ketawa... aku sudah dapat meneka siapa gerangan yang menegur aku... aku terus berjalan laju tanpa menoleh.. hati aku masih lagi merajuk, tapi jugak berat untuk aku menoleh... 

"alaaa fir....fir.....", suara nyaring halus dilenggokkan alunan seakan mengorat awek awek jalanan.. diperlahankan motornya seiring dengan perjalanan aku...

"ko ape citer cit?...ko dah mati laaa....dah la ko tinggalkan aku..." aku menjawab tanpa menoleh...kepala aku terasa berat dan mata aku mula berasa panas...cuba aku tahan sekuat kuatnya...

"hahahaha aku dah agak dah ko cakap camni...ko rindu aku tak?"...balas dia dalam gelak yang besar...dia menghentikan motor dan terus gelak berdekah dekah...

"huh bodo ko ni...aku rindu la musibat..."

aku tau ni semua mimpi...aku cuba menahan dari terjaga... aku mengharapkan masa untuk terus berbual semacam biasa dengan acit...tapi aku tau ini semua mainan mimpi...takpe la, aku cuma nak rasakan balik saat kiteorg bercerita tentang keadaan kiteorg... ini pertama kali mimpi aku dengan arwah acit selepas aku kawen...

aku menoleh ke arah acit, aku tgk dia dah berhentikan motor honda ex5 dia..gelak sendiri aku tgk motor tu, tak sangka ada jugak dalam mimpi ni...hahaha... kiteor bercerita tentang semuanya..dia ceritakan keadaan sebelum dia meninggal dan aku ceritakan tentang isteri aku...hahaha walaupun mimpi, aku rasa terlalu lalu seronok hingga lupa yang aku masih lagi dalam tidur yang boleh terjaga bila bila masa...

antara yang paling aku teringat sebelum aku terjaga, dia cakap sebelum kemalangan tu, dia merayau naik motor sorang sorang kat bandar yang aku tgh jalan tu... dia mengantuk sangat dan dia hampir excident... aku tanya dia, "dah tau mengantuk kenapa ko dok jejalan"... dengan ringkas dia menjawab sambil tergelak,"sebab aku rindu ko..lama tak naik motor ngan ko"...tersentak aku dengar dia jawab camtu..tapi aku ingat lagi 2 hari sebelum dia meninggal dia ada call aku untuk confirmkan nak bercuti kat langkawi berdua...hahahaha

"asal ko tak call je aku, boleh kita jalan sesama"...jawab aku yang konon nak menenangkan keadaan time tu...

acit terdiam dari gelak dan terus jawab dalam nada serius...
"kalau ko ikut aku aritu, takut nnt ko mati ngan aku sekali"...

..........aku terus terjaga

*post tentang berita kematian arwah acit > klik sini
Read more »

Tuesday, March 24, 2015

Penyakit hati si bodoh sombong penipu yang angkuh


Aku yang buat tajuk ni aku jugak yang gelak. Tergelak membayangkan sekiranya ada pembaca yang merasakan dirinya digelar 'si penyakit hati', 'si bodoh sombong', 'si penipu' dan 'si angkuh'. Gelaran yang ramai tidak ada orang boleh terima walaupun benar-benar ada dalam diri mereka. Tapi apakah perasaan kita bila digelar semacam tu? Tentu kita akan berasa marah dan menidakkan kata-kata semacam tu. Tujuan utama kali ni adalah untuk 'mengetuk' kepala kita sendiri bagi memastikan adakah kita dari golongan si penyakit hati yang bodoh sombong dicampur dengan penipu yang angkuh!

Aku akan mulakan dengan Surah Nur ayat 46  hingga ayat 50

- Sungguh, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang memberi PENJELASAN (hakikat kebenaran dengan berbagai bagai dalil dan bukti). Dan Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki ke jalan yang lurus.

- Dan mereka (org munafik) berkata, "Kami telah beriman kepada Allah dan Rasul, dan Kami mentaati (Allah & Rasul)". Kemudian sebahagian dari mereka berpaling setelah itu. MEREKA BUKANLAH ORANG ORANG YANG BERIMAN.

- Dan apabila mereka diajak kepada Allah dan Rasul-Nya, agar Rasul memutuskan perkara diantara mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak (untuk datang)

- Tetapi, JIKA KEPUTUSAN ITU MEMBERI HAK KEPADA MEREKA, MEREKA DATANG KEPADANYA (RASUL) DENGAN PATUH

- Apakah (kehadiran mereka kerana) DALAM HATI MEREKA ADA PENYAKIT ATAU MEREKA RAGU RAGU ATAU TAKUT SEKIRANYA ALLAH DAN RASUL BERLAKU ZALIM KEPADA MEREKA? SEBENARNYA MEREKA ITULAH ORANG ORANG YANG ZALIM. 

So...
Penulisan kali ni adalah disebabkan aku melihat berpusu pusu manusia yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w tetapi hanya mengaku pada lisan. Memang lah tak sepatutnya aku terus menerjah dan menuduh mereka beriman hanya dengan lisan tetapi tidak dengan hati mereka sendiri, sebabkan aku sendiri taktau apa yang ada dalam hati mereka. 

Tapi, Allah s.w.t maha mengetahui dan Dia telah merakamkan kata-kataNya tentang orang-orang yang konon mengaku beriman tetapi menolak sebahagian perintah-Nya. Dan lagi menyedihkan apabila jika terdapat beberapa perkara yang memenangkan diri mereka, mereka cepat-cepat patuh mengikut kehendak dan perintah Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Mereka ini memang benar-benar mempunyai penyakit di hati dan menipu diri mereka sendiri. 

Bila Allah s.w.t menetapkan sesuatu perkara dan ianya tidak bersesuaian dengan kehendak mereka, mereka akan memberi berjuta alasan untuk menidakkan, menangguh, menafikan dan terus menolak apa yang diperintahkan kepada mereka. Sebagai contoh, 

- Perintah untuk taat kepada pemerintah. (surah An-Nisa ayat 59)
Sesetengah pihak pemerintah menggunakan ayat ini bagi menunjukkan kekuasaan mereka kepada masyarakat bagi mentaati perintah mereka selagi mereka berkuasa dan digelar sebagai pemimpin. Tetapi mereka tidak pula melihat peranan sebenar pemerintah menurut panduan yang sama mereka gunakan iaitu Al-Quran. Mereka hanya mengambil secebis dari perintah Allah bagi menjadikan hak mereka dibela dan membutakan diri mereka untuk perintah yang lain.

- Poligami (surah An-Nisa ayat 3)
Bila menyebut tentang hak bagi pihak lelaki untuk berpoligami, ayat Al-Quran inilah yang selalu digunakan. Tetapi bila diperintahkan perkara-perkara lain yang juga disebut di dalam Al-Quran, mereka membutakan mata dan memekakkan telinga mereka. Adakah cukup benar pendidikan dan asuhan diberikan kepada isteri pertama mereka?. Adakah cukup adil mereka melaksanakan tuntutan isteri pertama mereka?. Adakah benar mereka menjaga aurat isteri mereka yang satu dan mampukah mereka menjaga aurat bakal isteri-isteri yang akan dinikahi?....atau cuma sekadar memuaskan nafsu tanpa mengambil endah tentang perintah lain...

- Memperjuangkan dan menjaga hak wanita
Islam adalah satu-satunya agama yang menjaga hak wanita dengan seadilnya. Menjaga maruah dan menjaga keselamatan dari sejak lahir sehinggalah diakhir hayat seorang wanita. Bermula dengan si ayah kepada si anak perempuan, si suami kepada si isteri sehinggalah hak si anak kepada si ibu, Islam telah menegaskan untuk mengutamakan kaum wanita ini. Namun (seringkali terjadi), apabila dibangkitkan isu wanita, mereka (wanita) akan bersuara menjelaskan tentang kelebihan mereka berlandaskan syariat Islam. Tetapi apabila diperintahkan untuk taat kepada suami, menjaga maruah suami dan diri sendiri, menjaga aurat, dan sebagainya, mereka juga seakan-akan membutakan diri mereka dan menjadikan pendengaran mereka pekak dari kebenaran dan perintah Allah s.w.t. 

Mengapa sebahagian dari mereka ini mengambil sedikit perintah Allah dan separuhnya atau mungkin yang lebih darinya diambil dari perintah manusia sendiri tanpa berlandaskan Al-Quran dan Sunnah?.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mentaati orang-orang kafir, niscaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran atau murtad mengikut beberapa tafsir yang lain), maka kamu akan kembali menjadi orang yang rugi"
(Surah Ali 'Imran ayat 149)

Wahai pembaca sekalian!

Kenapa bila diceritakan pada kita ayat-ayat atau beberapa peristiwa yang luar dari logik akal manusia, kita mampu terima dan tanpa ragu-ragu kita mempercayainya, sedangkan ada yang lain kita menolak dan ragu-ragu untuk menerimanya!?.

Bila diceritakan tentang isra' mikraj, lautan merah terbelah dua, malaikat yang mempunyai sayap, tongkat menjadi ular dan sebagainya, kita mempercayai dan beriman tentangnya...

tetapi apabila diceritakan tentang undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t, kita masih meraguinya?... Adakah kita tergolong dalam golongan yang disebut di dalam surah Nur di atas?...

Kita mempercayai dan seringkali menyebut, 

Allah maha mengetahui
Allah maha bijaksana
Allah maha adil
Allah maha penyayang
Allah yang menciptakan manusia dan segala isi bumi

Tetapi, itu cuma kata-kata... adakah kita benar-benar bermaksudkan yang sedemikian?

Sebagai contoh, (mungkin yang ramai pening part ni..hahaha)

Si Abu seorang yang sangat bijak, terkenal, mendapat kepujian seluruh dunia tentang perihal kedoktoran. Kehebatan beliau menjadi rujukan kedoktoran seluruh alam semesta. Kemudian Si Abu mengatakan bahawa,

 "memakan daun pudina setiap hari dicampur dengan daun ketum mampu mengubat manusia dari jangkitan virus e-cagu"
(ini adalah contoh semata-mata)

Penyataan beliau kemudiannya tersebar ke seluruh dunia. Hanya kerana kehebatan beliau, sekalian manusia di planet bumi ini pasti mempercayai tips yang disebutkan oleh beliau tanpa meragui dan mempersoalkan kerana kehebatan beliau yang cukup terkenal.

walaupun ianya contoh, mungkin sebilangan pembaca mengatakan ianya adalah karut. Walaupun ianya adalah contoh!. 

Tetapi, kenapa bila seorang ahli undang-undang manusia atau ahli politik atau ahli falsafah, menolak undang-undang yang diciptakan oleh Allah, iaitu pemilik dan pencipta sekalian alam termasuklah menciptakan si ahli-ahli profesional ni suma, namun masih juga terdapat yang mengiyakan dan terus ragu-ragu dengan undang-undang Allah dan tidak mengatakan ahli-ahli falsafah ini karut?. Sedangkan mereka menolak undang-undang yang ditetapkan oleh Pencipta mereka sendiri!.

Adakah kalian semua tahu, undang-undang manusia boleh digubal mengikut kehendak manusia sendiri!

Adakah kalian semua tahu sekiranya undang-undang di Malaysia yang tidak ada di dalam mana-mana akta, English Law akan diguna pakai! Bukannya merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah!... Aku akan mengulang semula ayat Quran di atas :

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mentaati orang-orang kafir, niscaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran atau murtad mengikut beberapa tafsir yang lain), maka kamu akan kembali menjadi orang yang rugi"
(Surah Ali 'Imran ayat 149)

Mungkin akan ada yang mengatakan, di dalam Quran dan Sunnah juga tak disebut...
Jawapan untuk mereka : Adakah mereka yang mengatakan ini benar benar mengkaji tentang hukum Allah dan Rasul-Nya?. 

Allah s.w.t ada menyebut di dalam Surah Maidah ayat 3:

"Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku redhai Islam itu jadi agama bagimu"

Sebagai kesimpulannya kepada para pembaca,

Kita sanggup menghabiskan hingga ratusan ribu ringgit untuk mempelajari, menyelidik dan mengkaji pelbagai ilmu yang ada di dunia sehingga kita lupa ada ilmu suci yang mampu menyelamatkan diri dan keluarga kita di dunia dan di akhirat yang telah disediakan oleh Pencipta kita. Mulakanlah dengan membaca terjemahan Al-Quran disamping mengkaji tafsirnya dan bacalah hadith-hadith yang shahih agar kita jelas dengan kebenaran kehidupan yang sebenar. Seandainya kalian yakin dengan segalanya, mulalah mengkaji agama lain agar kita ketahui kesesatan dan dapat menilai kenapa terjadinya kebodohan sesetengah pemikiran manusia yang tidak berlandaskan Quran dan Sunnah dan hanya mementingkan logik akal tanpa dibimbing dengan kebenaran Islam yang sebenar.

Wallahualam.
Read more »

Monday, February 9, 2015

Sedar atau tidak!?


"Dan mereka berkata,'kami telah beriman kepada Allah dan Rasul, dan kami mentaati (keduanya).' Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu, sekali-kali mereka itu bukanlah orang orang yang beriman. 
Surah Nur ayat 47

Seawal tahun 2015, bermacam-macam jenis status telah diucapkan oleh sebahagian masyarakat tak kira la yang muda, tua, remaja, lelaki, perempuan, melayu, cina, india, muslim, hindu, budha dan bermacam-macam kelompok manusia yang lain. Ada juga yang turut meluahkan azam baru mereka dimuka-muka media sosial milik mereka sendiri. Walaubagaimanapun, ada beberapa status yang menarik perhatian aku terutamanya ianya milik manusia yang berpegang dengan ajaran islam untuk aku "meng'komen'" luahan mereka di media sosial. Antara yang membuatkan jari aku untuk melayan luahan azam mereka apabila luahan tersebut berbunyi begini :

"Oh God, please give me a fat bank balance and slim body for this new year....please don't get confused like last year"

Memang status ni berbaur humor, tapi adakah mereka tidak bertanya,"Sapa yang 'get confused' tu?"...

adakah God (tuhan) yang get confused?

status ni ada versi bahasa melayu dan perkataan terakhir adalah, 'jangan keliru/jangan silap lagi seperti tahun lepas'...

adakah tuhan (yang mereka beriman itu) melakukan kesilapan/keliru dengan apa yang telah ditentukan?

Seandainya tuhan itu melakukan kesilapan. bermakna itu bukanlah tuhan!

Sebenarnya penulisan tentang ni ikutkan dah lapok sebabkan dah masuk pertengahan bulan Feb dah pun.. tapi motif aku menulis balik isu ni sbb ada beberapa status lain yang aku tgk 'mereka mereka' begitu galak 'share' tanpa memikirkan maksud sebenar ayat-ayat tersebut. 

Baru baru ni aku ada terbaca satu post yang menjadikan aku begitu pelik dengan sikap manusia yang membuat 'post' tersebut dan juga manusia yang 'share' post tersebut. 


Memang ianya sekadar 'buatan saje saje' kononnya nak menyedarkan betapa seksanya hati perempuan yang terpaksa mengharungi kehidupan poligami. Ikutkan isu poligami ni dah berapa kali aku bercakap dan mungkin sebilangan kawan-kawan aku dah bosan dengan isu ni bila aku sebutkan. Sebelum aku nak merungkai pendapat aku tentang post yang bodoh ni, aku nak ingatkan kepada pembaca tentang ganjaran 'payung emas' kepada isteri yang menerima kehidupan poligami ni adalah palsu dan tidak disebut di dalam mana-mana hadith yang shahih dan beberapa rujukan juga mengiyakan bahawa hadith ini adalah maudu' (palsu)!...ingatlah, 'siapa yang berdusta atas namaku (Nabi Muhammad), bersiap sedialah tempat duduknya di dalam neraka' (hadith bukhari)

OK!...berbalik balik pada post di atas...

Antara ayat awal dalam 'post' tersebut, dia mengatakan itu adalah mimpi dan sememangnya kita tahu mimpi tidak boleh dijadikan hujah dan seperti yang disebut di dalam hadith muslim bahawa mimpi buruk itu datangnya dari syaitan. Berkenaan dengan 'post' ini, seandainya pernyataan itu adalah dari kisah (mimpi) yang benar, sepatutnya ianya tidak boleh dihebahkan atau diceritakan kepada sesiapa. 'Post' ini bukan sahaja telah menghebahkan kepada orang ramai tetapi juga telah memberi pengaruh yang buruk kepada orang lain kerana seakan-akan mempertikaikan perkara yang dibenarkan di dalam hukum islam iaitu berpoligami. 

Seperti yang telah disebut, ganjaran 'payung emas' tidak ada disebut di dalam mana-mana hadith dan merupakan satu rekaan dan fitnah di dalam ganjaran dari Allah s.w.t. Seandainya ganjaran tersebut adalah benar, ternyata si pembuat 'post' ini telah menolak nikmat pembalasan atau ganjaran oleh Allah bahkan berasa angkuh dengan menyatakan "kalau macam tu, jangankan Payung Emas, Ferrari Emas sekali pun aku tak nak. Aku tak sanggup." Adakah kenyataan ini sepatutnya datang dari orang-orang yang beriman!?...

Sebagai contoh, 
Di dalam post sebelum ini tentang kemanisan iman, di mana antara syarat-syarat untuk merasai kemanisan iman ini adalah dengan meletakkan Allah dan Rasulnya lebih dari segalanya. Ini bermaksud, kedudukan ibubapa, keluarga dan orang yang kita sayang tidaklah melebihi cinta kita kepada Allah dan Rasul. Seandainya orang yang menyayangi isterinya lebih dari segalanya, tidak mustahil untuk dia menyatakan,"kalau setakat nak rasa kemanisan iman, takyah kata isteri, mak bapak pun aku lebihkan dari segalanya"... sedangkan mereka tidak tahu ganjaran yang Allah berikan ternyata lebih besar dari apa yang kita sangkakan. Adakah mereka sanggup menolak syurga Allah untuk mendapatkan kepuasan dan nikmat di dunia?. Bukan ke dah disebut dalam quran : 

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"
Surah Al An'aam ayat 32

Jelas yang kita tahu bahawa kebenaran dalam poligami ini sendiri telah dibenarkan oleh Allah dan disebut di dalam quran. Tak perlulah aku menyatakan potongan ayat tu sebab rasanya semua pasti memang ada disebut di dalam quran itu sendiri. Bila si lelaki yang mengeluarkan kenyataan seperti di atas, bahawa beliau 'mungkin' merasai keperitan wanita dalam berpoligami, ini ternyata beliau telah menolak kebesaran Allah dalam mengetahui segala perkara yang nyata dan yang ghaib. Biarpun empunya diri, kita sendiri tidak mengetahui tentang diri sendiri setinggi mana yang Allah ketahui. Allah menjadikan manusia, menjadikan lelaki dan menjadikan perempuan. Allah yang memberikan nikmat dalam kehidupan manusia dan fitrah manusia dalam pewatakan umum dan sebagainya. Lelaki yang Allah jadikan bersifat lebih keras dari perempuan, dan perempuan yang Allah jadikan bersifat lebih lembut dari lelaki. Begitu juga dalam menahan hati dalam melakukan ibadah, menahan nafsu dan juga bersikap adil atau bertoleransi, pasti juga Allah menjadikan diantaranya kelebihan yang kita sendiri tidak ketahui, wallahualam... Masakan begitu, bagaimana perasaan wanita-wanita yang telah mengharungi kehidupan berpoligami?...

Allah telah menjadikan kita dengan sempurna dan seandainya benar kita beriman dengan Quran, maka untuk apa kita mempertikaikan kata-kata yang telah diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w?...

Jauhkan bersikap angkuh dan bangga dengan akal fikiran kita yang Allah sendiri jadikan. Jangan mempertikaikan apa apa hukum yang Allah sudah tetapkan. Kita hanyalah musafir di dunia sebelum kita dibangunkan kembali di padang masyhar. Nak berkata boleh, tapi jangan terlalu angkuh dan bodoh dengan berpandukan akal jika dibandingkan dengan hukum Allah.

Wassalam.
Read more »

Monday, December 22, 2014

Buatlah apa yang 'engkau' mahu buat


Sesetengah dari kita suka yang berkata-kata dengan ayat yang tidak memberi maksud yang jelas atau tersirat atau berkias, dengan mengharapkan siapa yang membaca atau mendengarnya dapat berfikir lebih luas dan menterjemahkan dengan pemikiran mereka sendiri. Dan dari itu, si 'perkata' dapat menilai watak dan pemikiran si 'penterjemah' itu dengan hasil pemahaman dan pemikiran mereka sendiri. 

Antara ayat yang aku suka katakan kepada seseorang ialah 'buatlah apa yang 'engkau' mahu buat'...

Dari ayat ini sebenarnya, bila disebut 'buatlah', bermaksud ianya adalah satu kata perintah. Tetapi perintah yang dikeluarkan dari ayat ini adalah dari perintah seorang manusia bukannya dari yang Maha Esa. Bermaksud kemungkinan perintah ini bukanlah sesuatu yang baik dan mungkin juga bukanlah sesuatu yang buruk. Ini bergantung kepada situasi percakapan ketika itu, ataupun maksud yang sebenarnya dua pihak ini memahami tujuan ayat itu dikeluarkan. Bila perkataan 'buatlah' ini dikatakan kepada pihak 'pendengar', bermaksud si 'perkata' ini sebenarnya mengharapkan si 'pendengar' itu melakukan apa yang dimahukan oleh si 'perkata' itu, tetapi si 'perkata' itu tidak mahu si 'pendengar' melakukan atas dasar keterpaksaan. Sebab itulah ada sambungan ayat 'apa yang 'engkau' mahu buat'. 

'apa yang 'engkau' mahu buat' bermaksud apa yang diinginkan dalam perlakuan seseorang. Perlakuan ini tidak tergantung di atas perintah sesiapa melainkan si pelaku itu sendiri. Pelaku melakukan sesuatu perkara atas kehendaknya dan pilihannya sendiri samada ianya dilakukan atas kepentingan dirinya sendiri atau orang lain. Sebagai contoh, si Abu melihat si Aminah sedang menukar tayar keretanya. Abu mempunyai 2 pilihan samada membiarkan Aminah menukar tayarnya sendiri atau membantu Aminah untuk menukarkan tayarnya tanpa dipaksa oleh sesiapa. Di atas kepentingan orang lain, si Abu membantu Aminah untuk menukar tayar tanpa diperintah oleh sesiapa. Kelakuan ini mungkin memberi kesenangan kepada 2 pihak walaupun pada asal dan asasnya tidak memberi apa-apa kesan kepada Abu. Tetapi mungkin bila ditanya kepada Abu, kenapa dia melakukan sesuatu perkara tanpa dipaksa oleh sesiapa?, mungkin Abu akan menjawab, 'kerana aku suka melihat orang lain gembira' atau 'itu adalah tanggungjawab aku untuk melakukan kebaikan'. Ini menjelaskan kita bahawa, setiap perlakuan kita sebenarnya menunjukkan siapa kita yang sebenarnya. Manusia secara fitrahnya mempunyai akal dan mampu untuk membuat pilihan sendiri samada ianya baik atau tidak untuk mereka sendiri. Ini termasuk dengan perlakuan harian di mana manusia boleh memilih untuk melakukan sesuatu atas kepentingan dirinya sendiri atau kepentingan orang lain di mana ianya juga mampu memberi kepuasan kepada dirinya sendiri.

Bila digabungkan ayat 'buatlah apa yang 'engkau' mahu buat', mengikut pandangan aku sendiri, ianya merupakan satu kata perintah kepada si 'pendengar' untuk melakukan sesuatu yang baik bagi dirinya atau orang disekelilingnya dengan menggunakan akal dan boleh berfikir tentang kemungkinan yang akan terjadi selepasnya. Si 'perkata' mungkin tahu tanggungjawab seseorang itu dan mengharapkan si 'pendengar' dapat menilai kelakuannya berdasarkan tanggungjawabnya itu. Sebagai contoh seorang suami yang bertanggungjawab ke atas isterinya, memberi nafkah dan sebagainya, tetapi ia bergantung kepada si suami untuk melakukannya atau tidak. Ia menjadi pilihan si suami untuk melakukannya. Tetapi seandainya si suami dapat berfikir dengan baik, dia sendiri akan mengikat tanggungjawab itu tanpa dipaksa oleh sesiapa. Dan kerana inilah, aku berkata, dari ayat ini 'mungkin' aku dapat menilai seseorang itu dari perlakuannya setelah mendengar ayat ini diucapkan oleh aku sendiri, sebagai contohnya...

hahahahaha sorry laaa siapa yang tak dapat memahami ayat aku ni suma...ini cuma pandangan peribadi aku tanpa merujuk dari mana-mana kitab atau rujukan...

terima kasih
Read more »

Tuesday, December 16, 2014

Adakah Iblis itu Malaikat?


Sebilangan masyarakat Islam samada di Malaysia dan juga beberapa pandangan masyarakat lain banyak mengatakan bahawa Iblis atau namanya Azazil adalah 'bekas' ketua malaikat yang telah diturunkan ke bumi setelah menolak perintah Allah untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s. Dan kemudiannya, Iblis berjanji untuk menyesatkan umat manusia dari kebenaran dan memesongkan dari segi aqidah dan menjerumuskan manusia ke lembah kemaksiatan dan kehinaan.

Memang menyedihkan lagi apabila sebilangan ibubapa yang telah menceritakan kisah yang tak tepat ini kepada anak-anak sehingga mereka (anak-anak) berpegang dengan kepercayaan bahawa iblis ini adalah 'bekas' ketua malaikat!. Ditambah lagi dengan cerita-cerita barat yang mengukuhkan kepercayaan bahawa Iblis atau Lucifer sebagai THE FALLEN ANGEL atau malaikat yang diturunkan atau ketua malaikat yang telah dilaknat oleh tuhan kerana sifat kesombongan dan takburnya. Sebenarnya, kepercayaan ini adalah kepercayaan yang disebut di dalam ajaran kristian walaupun sebilangan mereka juga masih ragu-ragu tentang status Iblis atau Lucifer ini sebenarnya. Lucifer yang bermaksud 'day star' atau 'son of the morning' banyak disebut di dalam bible dan merupakan makhluk yang telah memberontak setelah Adam a.s dijadikan menurut kepercayaan mereka. 

Tidak dinafikan bahawa Allah telah memerintahkan iblis dan para Malaikat untuk bersujud kepada Adam a.s setelah diciptakan dan ini telah dirakam di dalam surah Baqarah ayat 34:

'Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada Para Malaikat,"Sujudlah kamu kepada Adam!" Maka mereka pun sujud kecuali Iblis. Ia menolak dan takbur, dan ia termasuk golongan yang kafir'.

Merujuk kepada ayat ini, terdapat sebilangan pembaca yang terus meletakkan Iblis sebagai golongan para Malaikat tanpa melihat tafsir yang lebih jelas dan juga beberapa ayat quran yang lain. Secara asasnya, sebilangan terjemahan Quran telah menerangkan bahawa 'Iblis termasuk di dalam kelompok jin'. Begitu juga, di dalam ayat Quran dan hadith juga telah menerangkan secara terang bahawa Iblis itu adalah dari golongan jin yang diperbuat daripada api, dan membezakan dengan kejadian Malaikat yang dijadikan dari cahaya!.

Di dalam surah Kahfi ayat 50 telah jelas menerangkan bahawa kejadian iblis yang datangnya dari golongan jin.

'Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada Malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam!" Maka mereka pun sujud kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia mendurhakai perintah Tuhannya'....

Di dalam sebuah hadith dari Aisyah r.a :

'Malaikat diciptakan dari cahaya, Jin diciptakan dari api dan Adam diciptakan sebagaimana telah dijelaskan kepada kalian (dari tanah)' 
hr Muslim no 2996.

Bahkan Iblis sendiri telah mengaku tentang kejadiannya yang dijadikan dari api seperti yang disebut di dalam surah Al-A'raf ayat 12:

'(Allah) Berfirman, "Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?" (iblis) menjawab,"Aku lebih baik daripada dia. Engkau menciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah'

Ini menunjukkan sifat iblis yang sombong dan takbur sedangkan Allah telah menciptakan para Malaikat tanpa rasa sombong dan mereka takut kepada Allah dan mengerjakan perintah Allah tanpa ragu-ragu. Ini dijelaskan di dalam surah An-Nahl ayat 49-50:

'Dan segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi hanyalah bersujud kepada Allah yaitu semua makhluk bergerak (bernyawa) dan juga para malaikat, dan mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri. Mereka takut kepada Tuhan yang (berkuasa) di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka)'

Juga di sebut di dalam surah At-Tahrim ayat 6 :

'Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan'

Merujuk kepada ayat ini, ternyata bahawa mustahil untuk mengatakan bahawa iblis adalah dari golongan malaikat kerana iblis telah menolak suruhan Allah untuk bersujud kepada Adam a.s. Sekiranya masih ada juga mengatakan bahawa iblis ini adalah dari golongan malaikat, adakah mereka tidak beriman dengan ayat-ayat quran?. Apabila disebut tentang kejadian iblis dari api, ternyata bahawa makhluk yang diciptakan dari api adalah dari golongan jin. Ini juga telah disebutkan di dalam ayat quran seperti :

Surah Rahman ayat 15 :
'Dan Dia menjadikan jin dari nyala api tanpa asap'

Surah Hijr ayat 27 :
'Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas'

Diharap dengan dalil-dalil dari Quran dan hadith ini dapat menjelaskan dengan terang kepada semua (pembaca), tentang status sebenar siapakah iblis laknaktullah ini mengikut kepercayaan Islam yang sebenar. Jauhkanlah kepercayaan kita bahawa iblis itu dari kalangan para Malaikat hinggakan ada yang percaya bahawa iblis laknatullah ini pernah menjadi ketua kepada para malaikat. Jadikanlah sumber Quran dan Hadith (shahih) untuk dijadikan panduan dan bukan hanya mendengar dari mulut orang yang kita sendiri tidak dapat pastikan keshahihannya hinggalah mereka membawa hujah-hujah dari Quran dan Hadith. Janganlah kita bersama memegang kepercayaan yang sama dengan kristian bahawa iblis atau lucifer sebagai 'bekas' malaikat. 


Read more »
Powered By Blogger