Melihat cuaca yang sangat mendung mengingatkan aku beberapa kisah yang mampu membawa aku ke masa silam. Bukanlah aku mahu kembali dan membetulkan kembali kerana ianya tidak akan berlaku sama sekali dan aku percaya apa yang telah terjadi menjadikan kita lebih matang dan belajar tentang kehidupan. Masa silam yang banyak mengajar aku erti kehidupan yang berlaku pada masa sekarang. Mengimbau kembali masa lalu, aku terperasan satu perkara yang sama aku lakukan hingga sekarang, iaitu berlakon sepanjang menjalankan bibit-bibit kehidupan.
Aku yakin dan pasti bahawa bukan aku seorang sahaja yang berlakon di dalam kehidupan sendiri tetapi orang lain juga. Lakonan yang kita lakonkan bukanlah semata-mata untuk menutupi keburukan atau hipokrit dalam diri sendiri tetapi adalah kerana untuk orang lain disekeliling kita. Ada masa kita berlakon hanyalah untuk menjaga hati atau perasaan orang lain, dan ada juga kita berlakon bagi mengelakkan dari orang lain mengetahui perasaan kita yang sebenar. Ada juga kita berlakon seakan-akan kita sentiasa gembira dihadapan orang lain sedangkan bertimbun-timbun masalah dan kesedihan yang ada dalam fikiran kita. Lakonan itu hanyalah untuk kebaikan orang lain supaya tidak menjadikan hidup mereka turut merasai masalah dan kesedihan itu.
Seandainya kita terus hidup tanpa lakonan, manusia semua akan lebih terasa dan terluka dengan sikap kita yang tidak pandai menjaga perasaan mereka. Tetapi haruslah kita menjadikan lakonan kita itu sebagai satu perkara yang kekal demi kebaikan orang lain. Bila disebut seseorang itu sanggup berubah untuk orang lain, tidaklah semudah yang disangkakan. Ada yang mengambil masa yang lama untuk menjadi seperti yang diingini oleh seseorang itu. Dan dalam masa itulah hidup kita penuh dengan lakonan sehinggalah ianya menjadi kebiasaan dan kekal dalam hidup kita.
Sepanjang hidup aku sebagai seorang sahabat, teman dan kawan, beribu kali aku mengingatkan mereka supaya menjadi diri sendiri dan buat apa yang kita sendiri mahu buat. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga hendaklah melihat dan menilai perasaan orang lain disekeliling kita supaya mereka tidak terasa, terguris mahupun terluka dengan sikap kita. Biar apa yang kita lakukan itu bermanfaat kepada orang lain. Biarpun sekecil biji sawi manfaat yang kita bawa, akan dipandang oleh Allah. Melakukan perkara yang kita mahu lakukan tanpa memikirkan orang lain akan dibenci dan dipandang serong oleh mereka. Ingatlah, bukan kita sahaja akan mendapat nama yang busuk, tetapi keluarga, sahabat dan yang rapat dengan kita turut mendapat tempiasnya.
Berlakonlah dengan sebaik-baiknya dan kekalkan perkara yang bermanfaat buat diri kita dan orang lain. Jadikan perlakuan kita sebagai contoh dan memberi manfaat kepada orang lain. Jauhkan perkara yang kita benci dan lakukan apa yang kita mahu selagi ianya tidak berlanggar dengan hukum Allah.
No comments:
Post a Comment