Dari mula sejak terciptanya manusia pertama di alam semesta ini, Allah telah menjadikan Nabi Adam dengan dua kurniaan yang tidak ada pada malaikat dan juga haiwan, iaitu akal dan nafsu. Malaikat yang dijadikan dengan akal dan haiwan yang dijadikan dengan nafsu semata-mata membezakan betapa tinggi dan hebatnya 'ujian' yang bakal dihadapi oleh manusia. Terdapat juga satu cerita tentang 2 malaikat yang pernah bertanyakan kepada Allah kenapa manusia tidak takut untuk melakukan dosa dan meninggalkan perintah Allah. Kemudiannya Allah menurunkan malaikat tersebut beserta dengan nafsu dan hidup di bumi sepertimana sekalian manusia. Tanpa disedari, malaikat tersebut juga melakukan perbuatan sama seperti manusia. Tetapi dengan kurniaan akal yang diberi oleh Allah, mereka tersedar dan terus bertaubat dan meninggalkan segala perbuatan yang tidak disukai oleh Allah.
Merenung kembali kisah itu, aku yang selalu bertanya kepada diri sendiri, apakah kesalahan dan kesilapan yang pernah aku lakukan akan terus dibenci oleh Allah?. Dengan kepercayaanku bahawa Allah itu maha pengampun dan penyayang, aku yakin dengan taubat dan doaku untuk mengampunkan ku, insyaAllah akan diterima oleh Nya. Tetapi dosaku kepada manusia biasa, dan aku terfikir bagaimana untuk aku mengejar dan mencari mereka di padang masyhar sekiranya dosaku tidak terampun oleh mereka.
Kita manusia sememangnya akan melakukan kesilapan dan kesalahan samada terhadap diri sendiri dan juga orang lain. Penyesalan biarpun setinggi gunung tidak akan memuaskan hati kita seandainya tidak mendapat pengampunan dari mereka yang pernah kita lukakan. Aku juga manusia yang pernah melakukan dosa kepada orang lain dan aku benar-benar di dalam penyesalan. Tetapi penyesalanku tidak akan terlangsai selagi mereka tidak memaafkan apa yang pernah aku lakukan.
Berfikir sejenak, adakah mereka percaya yang aku tidak menyesal dengan apa yang pernah aku lakukan dan tidak insaf dari kesilapan yang lepas?.
Biarpun diminta untuk diberi peluang, manusia yang terluka dan tidak percaya dengan 'ujian' Allah terus menyalahkan orang lain. Seperti yang aku pernah katakan, kita manusia dan kita belajar dari kesilapan, dan ini menjadikan kita lebih matang dan bersedia untuk menempuhi ujian yang terus mendatang. Sekiranya peluang dan kepercayaan diberi kembali, insyaAllah mereka yang dalam penyesalan ini akan melakukan lebih baik dari kalangan manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan. Ini kerana, mereka pernah merasai dan menderita hidup dalam penyesalan dan ingin kembali untuk memperbaiki kesilapan mereka dengan melakukan sesuatu perkara dengan lebih baik dan terbaik.
Kita sebagai manusia biasa, tidaklah seharusnya begitu kejam untuk tidak memaafkan kesilapan orang lain. Kita juga seharusnya cermin dan bermuhasabah dengan setiap kelakuan kita terhadap orang lain, dan juga binatang dan hidupan lain di bumi Allah. Adakah kita terlalu perfect hinggakan tidak menerima kemaafan dari orang lain?. Rasulullah yang Allah jadikan bersih dari dosa juga begitu mudah untuk memaafkan umatnya walaupun terdapat dari mereka pernah melemparkan najis dan batu ke arah beliau. Seperti tertulis suatu kisah di mana malaikat yang menjaga gunung ingin menghempap sebuah kampung kerana melontar batu ke arah Rasulullah hinggakan mengalirnya darah. Tetapi dengan kasih dan cintanya Rasul kepada umat manusia, diperintahkan kepada malaikat untuk tidak mengapa-apakan mereka. Akhirnya masyarakat di perkampungan tersebut menjadi satu komuniti islam yang sangat kuat.
Lihatlah kita betapa agungnya cinta dan kasih Nabi Allah kepada manusia. Diberinya peluang kepada mereka untuk bertaubat dan belajar dari kesilapan. Akhirnya mereka menjadi satu komuniti islam yang sangat kuat dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Tidak bermaksud setiap kesilapan yang kita lakukan bagaikan menggali lubang untuk menbenam kita semakin dalam. Tetapi dari kesilapan berserta penyesalan dan akhirnya bertaubat akan menjadikan kita manusia yang jauh lebih baik di masa hadapan, InsyaAllah...
No comments:
Post a Comment