Monday, February 18, 2013

ketegasan dalam kepimpinan


Di dalam kesibukan kota yang sesak dengan manusia yang terlalu cepat berlari mengejar keduniaan dan ada juga dari kalangan mereka sibuk menyebarkan dan berkongsi pandangan tentang kepercayaan masing-masing, kita terlupa seketika untuk menoleh ke arah satu bukit tinggi yang dihuni oleh sekumpulan manusia yang sedang memerhatikan dan memerintah kehidupan seharian kita. Bukit yang tinggi ini bukanlah satu tempat yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan kedudukan manusia dengan Pencipta sekalian alam dan juga kekasihNya, Rasulullah s.a.w. Hanyalah satu kiasan menunjukkan kedudukan seseorang mahupun organisasi yang memimpin sesuatu masyarakat. 

Benar, sejak dari beberibu tahun dahulu juga terdapat sesebuah kumpulan, mahupun negeri atau negara atau juga benua yang dipimpin oleh seorang ketua samada dilaksanakan dengan seadilnya atau sebaliknya. Bila kita mengimbau kembali zaman kegemilangan islam bermula dari kepimpinan Rasulullah sehingga wafat, disambung dengan 4 khalifah dan selepasnya tabi tabien, begitu gah dan kuatnya kita ketika itu. Pemerintahan yang sememangnya berlandaskan Al-Quran dan hadith dan juga sunnah Rasulullah, dan juga hukum yang dikeluarkan oleh ijma' ulamak sangat membantu dalam pembentukan sesebuah negara yang sangat kuat dari segi ketenteraan, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. 

Ketegasan dalam kepimpinan juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menjadikan masyarakat yang berdisplin dan hormat kepada ketua disamping kesetiaan bersama untuk berjuang dan menyalurkan bakti bagi membantu untuk memajukan negeri atau negara itu sendiri. Seperti yang kita tahu, Khalifah islam kedua selepas kewafatan Nabi Muhammad, Umar al-Khattab, yang sangat dikenali dengan ketegasannya begitu mementingkan displin dan tidak berganjak dengan pendiriannya yang berlandaskan hukum islam. Ketegasannya hinggakan masyarakat ketika itu gerun, takut dan sangat peka dengan perintah Allah yang seringkali dijadikan oleh Umar sebagai ingatan di dalam kepimpinannya. Bukan sahaja manusia, tetapi juga sungai nil yang mengalir semula airnya adalah kerana surat Saidina Umar kepada sungai itu sendiri untuk mengelakkan syirik yang dilakukan oleh masyarakat sebelum ini. Kisah yang berlaku pabila masyarakat dikawasan itu mengorbankan anak dara untuk dicampak ke sungai nil supaya tidak berhenti mengalir airnya. Raja yang ketika itu lantas menghantar surat kepada Saidina Umar dan menceritakan permasalahan tersebut. Saidina Umar menjawab surat itu dengan mengatakan kepada sungai nil itu sendiri, 'Sekiranya engkau mahu mengalir, teruskan mengalir dan sekiranya tidak, berhentilah dari terus mengalir'. Mendapat balasan dari surat itu, Raja tersebut mencampakkan surat itu ke dalam sungai nil dan airnya kembali meningkat setinggi 16 hasta dalam satu malam. Itulah kuasa seorang pemimpin dan wali Allah yang begitu tegas hinggakan alam dan manusia begitu hormat dengan kata-katanya.

Selain ketegasan itu juga, sifat adil juga seharusnya dilaksanakan oleh setiap pemimpin. Kisah ini juga berlaku ketika Saidina Umar yang ketika itu berjalan melihat kehidupan harian masyarakatnya. Dilihat pasangan lelaki dan perempuan yang sedang berbual, Saidina Umar terus datang ke arah lelaki tersebut dan merotannya dengan kayu yang sentiasa ada ditangannya. Lelaki tersebut lantas bertanyakan salahnya dan dijelaskan bahawa wanita itu adalah isterinya dan mereka berada dalam keadaan musafir. Saidina Umar lantas menghulurkan kayunya dan meminta lelaki itu merotannya kembali. Kisah ini menunjukkan Saidina Umar tidak berpaling dengan kesalahannya dan sedia menerima hukuman sekiranya dia berlaku salah. 

Melihat kembali ketegasan seorang pemimpin, dia juga harus dihormati dan dijadikan sebagai panduan di dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Janganlah kita terlalu berkejar-kejar untuk memegang pangkat atau jawatan sebagai pemimpin sekiranya kita tidak bersedia untuk menjawab soalan-soalan Allah di hari akhirat kelak. Tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, bukan sahaja sebagai ketua negara mahupun negeri, tetapi juga di dalam keluarga, kita seharusnya menjadikan Al-Quran dan hadith dan juga sunnah sebagai panduan untuk membimbing isteri dan anak-anak supaya mereka membesar dengan sempurna dan menjadi  seorang pejuang islam yang berlaku adil dan berbakti kepada agama islam sendiri, insyaAllah.
Powered By Blogger